Peristiwa ini berlaku tidak lama dahulu.
Kiranya ini adalah satu cerita yang bersifat imbas kembali di mana pada ketika itu aku menemani rakanku ke Pusat Kesihatan UKM.
Aku lupa sakitnya apa. Nyanyuk mungkin?
Dua pemandangan yang sangat berbeza yang aku dapati hari itu.
Perbedaannya amat ketara dan nyata menimbulkan keinsafan dalam diri aku. Sungguh aku keliru dengan pemandangan yang telah aku lihat.
Pertama : Aku melihat sebuah kereta buatan Malaysia yang kini menjadi kegilaan rakyat Malaysia kerana reka bentuknya yang 'sporty' meluncur laju dari persimpangan Pusat Pengajian Umum menuju ke laluan Pusat Kesihatan. Brek ditekan. Kelihatan seorang pemuda berusia pertengahan keluar dari perut kereta lantas menghampiri seorang pekerja asing yang menyapu dedaun kering di laluan pejalan kaki dengan lenggok yang kasar. Aku melihat pemuda Cina itu terkumat kamit seakan-akan memarahi pekerja asing yang ku kenalpasti dari negara Bangladesh. Terkejut aku apabila melihat dia menarik lelaki tidak berdaya itu ke arah keretanya dan memarahinya tanpa aku fahami apa butir-butir perkataannya. Aku hanya mampu berjalan melintasi mereka.
Kedua : Di persimpangan yang sama, tetapi aku telah melewati persimpangan itu. Kedengaran bunyi brek yang ditekan secara mengejut dan disusuli oleh dentuman kecil. Motor sudah terbalik dan kereta terhenti di pertengahan jalan. Susuk seorang wanita berimej pensyarah keluar lalu mendekati seorang lelaki muda yang ku kira seorang pelajar. Aku melihat wanita itu menjamah-jamah badan lelaki itu sambil bertanya tentang keadaannya. Persis seorang ibu yang penyayang aku kira.
Aku tersenyum.
Tiba di kamar, mindaku berputar ligat. Mencari satu titik pertengahan. Mencari satu jawapan. Aku bukan seorang manusia yang bersifat rasis yang kalut untuk menjatuhkan hukuman diskriminasi. Tetapi itu yang aku fikirkan. Mengapa hanya segelintir sahaja yang mempunyai peri kemanusiaan? Mengapa tidak seluruh jenis masyarakat?
Ya Allah, aku insaf.
Aku belajar untuk bertimbang rasa dengan seluruh makhluk-Mu.